Tanggungjawab Manusia Terhadap al-Quran
Salam Yaumul Furqan, 17 Ramadhan 1434H
Sebahagiam musafir berpendapat bahawa malam 17 Ramadhan adalah permulaan turunnya al-Quranul Karim. Harus diingat juga bahawa tanggal 17 Ramadhan juga merupakan hari bertemunya dua pasukan pada perang Badar sebagaimana yang dirakamkan Allah di dalam al-Quran.
Maksudnya;
"Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka seperlima untuk (jalan) Allah, RasulNya, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnus-sabil (orang yang bermusafir), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada Hari Al-Furqan, iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar) dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." Al-Anfal 8: 41
Jadi eloklah pada hari Furqan ini ataupun lebih dikenali bagi rakyat Malaysia sebagai hari Nuzul Quran ini kita mengetahui apakah dia tanggungjawab kita terhadap al-Quran.
Tanggungjawab Terhadap Al-Quran
Bagaimanakah kiranya kita untuk mengenal al-Quran? Mulanya perlulah dahulu kita menyemak tahap kecintaan kita terhadap al-Quran itu sendiri. Perhatikan diri kita semasa menbaca al-Quran, mudah jemu? Baru baca 3 baris dah menguap? Ataupun kita mendapati diri kita seumpama ahlullah yang terus menerus membaca al-Quran tanpa mengenal jemu? Sepertimana para sahabat Rasulullah SAW, para ulama' dan para huffaz?
Hehe..tak kenal maka tak cinta ye dak? Jadi untuk mengenal al-Quran, untuk menggapai roh seperti mana para ahlullah yang tersebut dalam membaca al-Quran, kita hendaklah mengetahui dan mengakui bahawa al-Quran itu adalah Qalamullah. Qalam Allah, bukan qalam makhluk, bukan juga qalam manusia.
Dengan keyakinan yang sebegitulah baru kita akan mendapati kecintaan terhapap al-Quran. Analogi mudah, kalian pernah bercinta? Dulu-dulu gayut asyik tak? Dari pukul 10 malam hingga 5 pagi, tak sedarpun masa berlalu. Itu maknanya cintanya kita kepada dia, sukanya kita apabila mendengar suaranya. Maka begitulah, jika tiada rasa kecintaan terhadap al-Quran, maka rasa jemulah yang akan menyelubungi kita tatkala kita membacanya. Untuk mendidik rasa cinta itu, mulailah dengan mengetahui dan meyakini bahawa al-Quran itu adalah Qalamullah.
2. Mambacanya
Elok bertanya pada diri, sehari berapa kali kita membaca al-Quran? Berapa kali kita menghadapkan wajah kita kepada mushaf Quran tu?
Tahukah kita Saidina Ali b. Abi Talib itu pernah mangkhatamkan Quran dari senggang waktu Maghrib hingga Isya'? Imam Syafi'i boleh mengkhatamkan al-Quran 2 kali dalam sehari, sekali pada waktu siangnya dan sekali lagi pada waktu malamnya. Ramai ulama'-ulama' yang terkemuka yang mana kebiasaan mereka mengkhatamkan al-Quran 3 hari sekali. Bahkan ada ulama' yang mengkhatamkan al-Quran dalam dua rakaat solat sunat. Lagi kebiasaan para huffaz masakini untuk melazimi khatam quran 7-10 hari sekali. Masya Allah. Begitu kerapnya mereka membaca al-Quran.
Tahap kita ke tu? Elok ukur baju di badan sendiri..hehe. Cemburulah sikit dengan kemampuan mereka. Kita ni sekurang-kurangnya lazimilah dalam membaca al-Quran sehari-hari. Tidak boleh tidak, sehari tu pastikan ada juga mengadap dan membaca al-Quran. Bereh?
3. Memahaminya
Membaca al-Quran itu ada kelebihan dan fadhilatnya yang tersendiri. Namun begitu, memahaminya adalah lebih lagi dituntut. Jadi, kita ni jika tidak mampu memahami bahasa al-Quran, eloklah jika kita melazimi membaca terjemahan al-Quran. Malang bagi kita jika kita mati kelak dalam keadaan yang mana di masa hidupnya sering membaca al-Quran tetapi tidak tahu langsung apakah makna ayat-ayat yang dibaca.
Maka carilah waktu dalam sehari untuk membaca dan menelaah terjemahan al-Quran. Lagi best kalau baca satu ayat, then baca terjemahannya. Mengenai maksudnya pula, jika mengenai ayat-ayat muhkamat (jelas) yang kita faham maksudnya, alhamdulillah. Tetapi apabila menemui ayat-ayat yang mutasyabihat (samar), yang kita tak berapa nak faham, maka eloklah bertanya dan rujuk kembali kepada ustaz-ustaz yang ahli lagi soheh. Jangan pandai-pandai nak buat penafsiran sendiri. Panafsiran al-Quran tanpa ilmu, itulah dia penafsiran menurut nafsu. Maka hati-hati.
4. Mangamalkannya
Mana mungkin kita mengatakan bahawa kita telah mengenal, membaca dan memahami al-Quran itu tetapi ajaran al-Quran itu tidak terzahir di dalam tindak-tanduk kita sehari-hari. Maka sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengamalkan setiap ajaran yang terkandung di dalam al-Quran itu sendiri.
Ingatkah kita mengenai generasi al-Quran yang mana terpancar cahaya al-Quran itu dari dalam hati mereka terus menyinari pelusuk alam. Itulah generasi sahabat Rasulullah SAW yang mana ulama' menyifatkan seperti setiap tindak tanduk mereka, itulah al-Quran. Itulah mukjizat al-Quran, isi kandungannya membawa manfaat bagi seluruh alam. Tidak seperti lambakan artikel, tulisan tesis-tesis, tetapi barang sekali sedikit yang membawa perubahan kepada manusia. Tetapi tidak al-Quran, lihatlah bagaimana generasi yang benar-benar mengamalkan isi kandungan al-Quran, dunia berada di tangan mereka, dunia dalam genggaman mereka!
Tidak rindukah kita pada zaman itu?
Ringkasnya;
KENAL | BACA | FAHAM | AMAL (:
Catatan nota;
Ceramah Agama Nuzul Quran
17 Ramadhan 1434H
Ustaz Zaki
Daripada Umar b. Al Khattab r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda (yang bermaksud);
“Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran.” HR Muslim