Kenali bulan Rejab
Pengertian Rejab
Rejab bermaksud kebesaran atau kemuliaan. Masyarakat jahiliyah menamakan bulan ini dengan nama rejab kerana mereka memuliakan dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Seterusnya Rasulullah SAW turut mengekalkan nama bulan ini dan mengharamkan pertumpahan darah di dalamnya. Bulan Rejab adalah salah-satu daripada bulan-bulan Haram, dimana yang lainnya ialah bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram.
Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rejab
1. Hijrah Pertama
Merupakan hijrah ke Habsyah(Ethiopia). Atas tekanan dan ancaman pihak musyrikin ke atas Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada baginda, Rasulullah SAW telah memerintahkan mereka untuk berhijrah ke Habsyah. Habsyah di pilih adalah kerana rajanya pada ketika itu terkenal dengan sikap keterbukaan dan toleransinya. Di antara mereka yang turut serta di dalam hijrah ini ialah Saidina Othman RA dan isterinya Raqiah(anak Rasulullah SAW), Zubair bin Awwam, Mush’ab bin Umair dan Abdurahaman bin Auf. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita.
2. Isra' dan Mi'raj
Isra' dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waku malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.
Terdapat banyak pandangan ulama' dalam meletakkan tarikh berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj ini. Adapun pandangan yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan Isra' dan Mi'raj ini berlaku pada malam tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat. Begitu juga dengan pendapat-pendapat yang lain.
3. Perang Tabuk
Dinamakan perang Tabuk bersempena dengan tempat di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul iaitu di utara semenanjung Arab. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.
4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Saidina Umar RA telah membuka Baitul-Muqaddis semasa zaman pemerintahannya. Setelah 500 tahun pemerintahan kaum muslimin ke atas Baitul-Muqaddis hinggalah ke zaman pemerintahan Abasiyah, Baitul-Muqaddis akhirnya ditawan umat Kristian(tentera Salib) setelah serangan demi serangan dilancarkan. Setelah 60 tahun pemerintahan mereka, Baitul-Muqaddis dibuka kembali oleh panglima Islam terkenal iaitu Salehuddin Al-Ayubi. Beliau berjaya menawan kembali Baitu-Muqaddis pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Kemudian pada tahun 1387H(1967M), umat Yahudi pula menawan Baitul-Muqaddis dan menamakannya Israel.
5. Kelahiran Imam Syafi'i RH
Nama sebenar beliau ialah Muhammad Bin Idris. Beliau lahir di Ghuzzah, Palestin pada tahun 150H(767M) di dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Negara kita Malaysia mengamalkan mazhabnya juga termasuk negara-negara yang lain seperti Iraq, Yaman, Mesir, Indonesia dll.