Jagalah Hati !


 Hati? Ada apa dengan hati? Aku sedar Islam amat menitik-beratkan soal hati. Tapi mengapa hati? Mengapa bukan anggota-anggota badan yang lain? Sudahkah anda mendapat jawapannya? Jika ya, dapatkah anda beramal dengan pengetahuan yang anda perolehi itu? Sahabat, semuanya terletak pada hati. Sedarilah betapa besarnya pengaruh hati kita di dalam hidup sehari-hari. Dialah yang perlu kita jaga, dialah yang perlu kita baja, dan dialah yang perlu kita jinakkan. Kerana hati inilah permulaan. Permulaan jalan kita menuju Allah SWT.

Rasulullah SAW ada menegaskan,
Di dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah manusia tersebut. Sebaliknya jika jahat daging itu, maka jahatlah manusia tersebut.
 Apakah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dengan daging itu? Ketahuilah daging itu adalah hati!

  Sememangnya fitrah manusia mahukan kebaikan. Jadi, kunci utama untuk menjadi manusia yang baik sebenarnya terletak pada hati manusia itu sendiri. Itulah yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita, umatnya. Hati ini umpama raja di dalam kerajaan diri manusia.  Jika raja baik, maka rakyatnyapun turut baik. Maka begitulah bila hati baik, secara automatik anggota-anggota badan yang lain akan turut melahirkan kebaikan.

  Jadi marilah kita bersama-sama fikirkan betapa besarnya kepentingan hati di dalam diri kita. Dalam usaha kita untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini, seiring dalam menjadi mukmin yang sejati, maka wajib untuk kita menjaga hati kita. Tiga belas tahun Rasulullah SAW menangani persoalan hati manusia dengan wahyu-wahyu di peringkat Makkah. Ayat-ayat Makkiyah ini pendek-pendek dan kebanyakannya sarat dengan persoalan iman. Semuanya berkisar pada kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib. Ayat-ayat itu menerangkan tentang keesaan, keagungan, kebesaran dan keindahan Allah, juga menggambarkan keadaan dan balasan nikmat di syurga dan seksa di neraka.

  Iman di hati ialah kunci utama kearah perubahan sikap. Inilah rahsia kehebatan generasi Al-Quran yang pertama. Rasulullah SAW telah mendidik hati-hati para sahabat menggunakan ayat-ayat Makkiyah. Ayat-ayat yang berkisar tentang mentauhidkan Allah. Tauhid ialah sumber kekutatan untuk melakukan perubahan kerana ia merungkai semua halangan dan godaan luaran yang mengganggu usaha kearah perubahan. Sehinggakan apa yang dilakukan para sahabat, itulah Islam, itulah Al-Quran. Kerana apa? Kerana Rasulullah s.a.w. telah mencetak Al-Quran di dalam hati-hati mereka!

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
" Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kpada rupa paras kamu dan harta kamu tetapi melihat kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu. " HR Muslim
 
Rasulullah s.a.w. juga ada menegaskan bahawa, 
" Tidak akan lurus keimanan seseorang, sehingga lurus hatinya. Dan tidak akan lurus hati  seseorang sehingga lurus lidahnya. "

Wallahu'alam

Powered by Blogger.