Jom Kenali UPM!



Latar Belakang UPM

Universiti Putra Malaysia mula ditubuhkan sebagai sebuah Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931. Ia dibangunkan di kawasan seluas 22 ekar di Serdang dan menawarkan dua program sahaja pada masa itu; Program Diploma 3 tahun dan Program Persijilan 1 tahun di dalam bidang pertanian. Tanggal 23 Jun 1947, Sekolah Pertanian ini telah dinaiktaraf sebagai Kolej Pertanian Malaya oleh Sir Edward Gent, Gabenor Malayan Union ketika itu. Penubuhan Universiti Pertanian Malaysia seterusnya tercetus apabila Sekolah Pertanian di Serdang ini bergabung dengan Fakulti Pertanian, Universiti Malaya. Dr. Mohd. Rashdan bin Haji Baba, yang merupakan pengetua Kolej Pertanian Malaya, dilantik sebagai Naib Canselor di bawah Seksyen 18, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Universiti Pertanian Malaysia memulakan sesi akademiknya pada 23 Julai 1973 dengan pengambilan seramai 1,559 pelajar. Pelajar-pelajar tersebut memulakan pengajian di tiga fakulti pengasas dan satu bahagian asasi iaitu Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan, Fakulti Perhutanan, Fakulti Pertanian dan Bahagian Sains Asasi, yang pada masa itu menekankan bidang perhutanan dan veterinar selaras dengan dasar dan keperluan Negara. Pada tahun 80-an, UPM mengembangkan bidang pengajian ke bidang Sains dan Teknologi (S&T). Pada tahun 3 April 1997, nama Universiti ditukar dari Universiti Pertanian Malaysia ke Universiti Putra Malaysia oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad, untuk menggambarkan status UPM sebagai pusat pengajian tinggi yang merangkumi pelbagai bidang, terutamanya sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan kepada pembangunan negara di alaf baru ini.


Visi/Misi/Matlamat Kami/Dasar Kualiti

VISI » Menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa.

MISI » Memberikan sumbangan bermakna kepada pembentukan kekayaan dan pembangunan negara serta kemajuan manusia sejagat menerusi penerokaan dan penyebaran ilmu

MATLAMAT UPM

» Matlamat 1
Mempertingkat kualiti dan daya saing graduan

» Matlamat 2
Penjanaan nilai melalui ekosistem RDCE yang mantap dan lestari

» Matlamat 3
Melonjak perkhidmatan jaringan industri dan masyarakat

» Matlamat 4
Memperkasa UPM sebagai pusat kecemerlangan pertanian

» Matlamat 5
Mempertingkat kualiti tadbir urus

DASAR KUALITI

Staf Universiti Putra Malaysia beriltizam ke arah kecemerlangan melalui penerapan budaya kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan sokongan untuk memenuhi ekspektasi pelanggan.

Staf Universiti Putra Malaysia akan melaksanakan tanggungjawab dalam mencapai objektif kualiti yang ditetapkan, serta memastikan objektif tersebut dikaji dari semasa ke semasa supaya selaras dengan visi, misi dan matlamat UPM.


Ingin Mengetahui UPM Dengan Lebih Lanjut?

Sila klik ke pautan yang berikut.

Website : www.upm.edu.my

Roh Study Week


Wahai diri, jangan persiakan nikmat Islam dan iman yang dikurniakan kepadamu. Indahnya Islam, amat menitikberatkan sesuatu perkara yang memang perlu dititikberatkan. Mudah bicara, amalkan ajaran Islam insya Allah kita akan selamat.

Sebagai seorang mahasiswa Islam, apa yang Islam titikberatkan kepada kita?

  1. Akademik
  2. Dakwah

Jangan dikurangkan sedikitpun dari dua elemen ini. Ini amanah yang kita tanggung selagi mana kita bergelar pelajar ataupun mahasiswa Islam.

Memandangkan sekarang aku berada di dalam fasa 'Study Week', jadi tidak berhajatpun nak berceloteh panjang. Cuma ingin berkongsi sedikit suara hati.

Di fasa ini, usahalah semampumu, gunakan masa yang ada untuk menelaah kembali silibus pelajaran. Refresh semula apa yang kita timba sebelum ini di dalam kelas. 

Mengapa kita perlu cemerlang Akademik?

  • Ini adalah syiar kita. Akademik juga adalah satu daripada cabang dakwah. Sebagai seorang mahasiswa Islam yang memikul amanah dakwah dibahunya, mata-mata masyarakat memerhatikan kita. Jika kita cemerlang akademik, barangkali kita akan dijadikan contoh teladan. Dakwah kita akan lebih lunak dan mudah untuk diterima. Jika kita gagal, barangkali ia akan menimbulkan fitnah kepada Islam itu sendiri. Mungkin pelbagai tohmahan akan kita dengari.
  • Menuntut Ilmu sebaik mungkin hingga akhirnya ilmu ini kita dapat manfaatkan kepada Islam semula. Ilmu yang dituntut ini bukanlah untuk kemajuan diri semata-mata, tetapi juga untuk agama Allah. Rugi, kita bukan belajar semata-mata untuk mendapatkan kerja dan gaji yang baik. Lebih besar dari itu, kita mahu memastikan dengan bidang kemahiran yang kita pelajari, kita mampu menyumbangkan kepada Islam.

Di sinilah perlunya akan USAHA dan ATTITUDE yang baik.

Indahnya Islam..

Allah melihat kepada usaha kita, bukan kepada keputusan akhir. Kerana usaha itu adalah batas kemampuan kita. Sedang setiap keputusan terpulanglah kepada Allah yang Maha Kuasa. Keputusan itu hak Allah. Apa yang penting, kita tunaikan dahulu hak kita iaitu usaha itu sendiri.

Andai kita ditakdirkan gagal ataupun kurang cemerlang walaupun setelah berusaha sebaik mungkin..

LA TAHZAN!

Tuhanku Allah! tiada lain melainkan DIA.

CGPA bukan tuhanku!
Kata-kata manusia bukan tuhanku!
Kemuliaan dan pujian bukan tuhanku!

Masya Allah, indahnya Islam. Teruskan berusaha, Allah sedang menilai kamu (:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...