10 Syarat Menjadi Imam



1. Islam
Tidak sah solat yang diimamkan orang kafir.

2. Berakal
Tidak sah solat yang diimamkan oleh orang gila. Tetapi jika gila itu bermusim maka solat ketika dia sihat sah tetapi adalah dibenci. Ini kerana dikhuatiri penyakit gilanya itu berulang ketika dia menunaikan solat.

3. Baligh
Tidak sah solat yang diimamkan seseorang mumaiyiz kepada seorang yang baligh di dalam solat wajib dan sunat. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dan Ibn Mas’ud,

Janganlah diimamkan solat itu oleh seorang budak sehingga dia baligh. ” 
Ini kerana solat itu adalah dalam keadaan sempurna sedangkan budak atau kanak-kanak itu bukan daripada ahli yang sempurna. Imam Syafi'i berpendapat, harus orang yang baligh menjadi makmum kepada imam yang belum Mumaiyiz. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Amr bin Salamah: Aku telah mengimamkan solat di zaman Rasulullah SAW sedang aku adalah anak yang baru berumur tujuh tahun. (Riwayat Bukhari)

4. Lelaki
Tidak sah solat yang diimamkan oleh seorang perempuan atau khunsa bagi makmum lelaki sama ada solat fardu atau sunat. Sekiranya yang menjadi makmum itu perempuan semata-mata maka tidak disyaratkan lelaki menjadi imam bagi jemaah tersebut.

5. Suci
Bersih daripada hadas dan kekotoran. Tidak sah menjadi imam orang yang berhadas atau orang yang terdapat najis pada badannya, pakaiannya sama ada dia mengetahui hal tersebut atau lupa.


6. Baik bacaan & rukun
Baik bacaannya dan mengetahui rukun-rukunnya. Seseorang imam hendaklah baik bacaannya kerana solat tidak sah melainkan dengan bacaan dan mengetahui rukun-rukun solat. Tidak sah seseorang qari menjadi makmum kepada seseorang yang buta huruf (jumhur) dan wajib bagi qari mengulangi solatnya. Seperti mana keadaannya tidak menjadi makmum kepada seseorang yang tidak mampu rukuk, sujud atau tidak boleh duduk ataupun tidak mampu mengadap kiblat.

7. Keadaan yang bukan makmum
Tidak sah solat makmum mengikut makmum lain sebagai imam. Mengikut seseorang yang sudah terputus dengan imamnya disebabkan masbuk:
  1. Al-Hanafiah: tidak harus menjadi seseorang masbuq itu sebagai ikutan kerana dia telah mengikut (makmum). Oleh yang demikian, yang diikut tidak boleh diikuti.
  2. Al-Malikiah: tidak harus menjadikan seseorang yang masbuk itu sebagai ikutan kerana dia tadi mengikut (makmum). Namun adapun yang mudrik (tidak sempat rakaat bersama imam boleh diikuti apabila dia bangkit untuk menunaikan solatnya dan hendaklah mudrik yang tidak sempat rakaat tadi berniat menjadi imam. Kerana ketika itu dia sedang solat berseorangan dan tidak thabit hukum makmum. 
  3. Al-Syafi'iyyah: terputus ikutan / menurut imam dengan semata-mata keluarnya imam dari solat sama ada dengan memberi salam atau dengan sebab terbatalnya wuduk. Ini kerana terkeluarnya dari ikatan di antara imam dan makmum maka pada ketika itu dia boleh mengikuti orang lain yang ganti imam atau orang lain yang mengikutnya sebagai imam.
Kesimpulannya: al-Hanafiah dan Malikiah tidak mengharuskan mengikut seseorang yang asalnya mengikut selepas imam memberi salam, dan harus pada Al-Syafi'iyyah dan al-Hanabilah. Ini adalah lebih utama.

8. Tidak uzur
Pada al-Hanafiah dan al-Hanabilah: Tidak lawas ketika buang air, kerap terkentut dan batuk makruh ke atas orang yang mempunyai penyakit-penyakit ini menjadi imam. Sekiranya seseorang yang mempunyai satu keuzuran adalah lebih utama menjadi imam daripada orang yang mempunyai dua keuzuran. Adapun pendapat al-Malikiah tidak mensyaratkan syarat ini tetapi dihukum makruh menjadi imam selagi mana tidak terbatal wuduknya. Begitu juga pendapat bagi Al-Syafi'iyyah tidak mensyaratkan syarat ini dan sah menjadi imam orang yang mempunyai keuzuran ini dan tidak perlu mengulangi solat tersebut.

9. Fasih al-lisan
Mampu menyebut huruf-huruf di dalam al-Quran dari makhrajnya.

10. Bersamaan mazhab makmum
Al-Hanafiah dan Al-Syafieyyah mensyaratkan supaya solat itu diimamkan oleh orang yang bermazhab yang sama dengan makmum. Sekiranya seseorang yang bermazhab Hanafi solat di belakang seorang imam bermazhab Syafie yang mengalir darah pada tubuhnya dan tidak berwuduk selepas itu atau solat seorang yang bermazhab Syafie di belakang seseorang bermazhab Hanafi yang menyentuh perempuan dan tidak berwuduk, maka solat makmum itu batal kerana setiap mazhab melihat kepada batalnya solat imam itu tadi. Al-Hanafiah berpendapat solat di belakang imam yang bermazhab Syafie adalah makruh.



Sumber:
i.  Cerita Agama @ Nur Ad'din
ii. taman melati
Powered by Blogger.