Hijrahku Kerana Apa?


Nilai Niat di Dalam Ibadah

Dari Amirul Mukminin Umar al-Khattab ra. katanya; 
"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Hanya sesungguhnya segala amal itu bergantung dengan niat. Dan sesungguhnya bagi setiap manusia apa yang diniatkannya. Maka barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehinya, atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ia hijrah.'HR Bukhari & Muslim.



Hadis ini menyatakan tentang nilai niat dalam setiap perbuatan manusia. Balasan atau ganjaran oleh Allah SWT adalah berasaskan niat seseorang dalam amal pekerjaannya.

Niat itulah yang membezakan perbuatan adat dengan perbuatan yang diberi ganjaran (ibadah).
Misalnya duduk berehat di dalam masjid tidak mendapat apa-apa ganjaran dari Allah SWT. Manakala duduk dengan niat iktikaf akan diberi pahala oleh Allah SWT.

Niat bermaksud menggerakkan hati untuk melakukan apa yang diperintahkan syara’ dengan tujuan mendapat keredhaan Allah SWT. Niat bagi tujuan selain dari itu adalah tidak diterima oleh Allah SWT.


Hijrah Kerana Wanita

Seorang lelaki Mekah bernama Hatib bin Balta’ah telah mencintai gadis bernama Ummu Qais. Dia masuk meminang tetapi pinangannya ditolak. Sewaktu orang-orang Islam hijrah ke Madinah, Ummu Qais juga turut hijrah. Hatib yang masih cintakan Ummu Qais mendapat tahu kekasihnya telah pindah, maka dia pun turut berhijrah dengan harapan dapat memujuk Ummu Qais supaya berkahwin dengannya.

Perkara itu diberitahu kepada Rasulullah SAW lalu baginda menegur perbuatan itu, sebab hijrahnya bukan kerana Allah dan RasulNya, malah kerana perempuan yang dikasihinya. Dia tidak mendapat apa-apa ganjaran pahala dari hijrahnya itu.

Baginda Rasulullah SAW dalam hadithnya lalu mengaitkan niat sesuatu amalan itu dengan tindakan berhijrah seperti yang dilakukan oleh lelaki berkenaan.

Walaupun lelaki tersebut akhirnya dapat berkahwin dengan kekasihnya, tetapi ia tidak dapat apa-apa ganjaran dari hijrahnya.


Niat menjadi syarat utama sahnya sesuatu amalan yang baik. Amalan yang tidak ada niat atau niat bukan kerana Allah, adalah tidak sah. Amalan yang tidak sah, tidak akan diterima oleh Allah.

Sesuatu amalan baik dikira ibadah, sekiranya ia disertakan niat. Sesuatu perbuatan baik tanpa disertai niat, maka ia menjadi amalan adat dan tidak diberi apa-apa pahala.

Niat dalam pekerjaan yang baik dan yang diperintahkan oleh syariat, hendaklah ditujukan kepada Allah semata-mata, dan bukan kerana tujuan yang lain.

Hijrah diberi contoh oleh Rasulullah SAW, kerana ada sebahagian umat Islam melakukannya bukan kerana Allah, tetapi tujuan keduniaan seperti perkahwinan dan lain-lain kepentingan duniawi.



Pengajaran Hadis
  1. Setiap amal ibadat memerlukan niat.
  2. Niat membezakan perbuatan adat dari perbuatan ibadah.
  3. Niat yang ikhlas kepada Allah dalam ibadah menentukan ganjaran daripadaNya.
  4. Perbuatan ibadah yang yang dilakukan bukan kerana mencari keredhaan Allah tidak akan mendapat ganjaran daripadaNya.

Sumber: albaiyinah

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...