10 Sifat-Sifat Seorang Muslim




1.  Warak
  • Saya mestilah seorang yang warak iaitu tidak melakukan perkara-perkara yang haram, berusaha untuk meninggalkan perkara-perkara yang makruh dan menjauhi perkara-perkara syubhat (perkara-perkara kesamaran iaitu yang kurang jelas adakah perkara itu halal ataupun haram). Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 
" Yang halal itu sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas; dan di antara keduanya ada hal-hal yang musytabihat (syubhat, samar-samar, tidak jelas halal haramnya), kebanyakan manusia tidak mengetahui hukumnya. Barangsiapa hati-hati dari perkara syubhat, sungguh ia telah menyelamatkan agama dan harga dirinya. " HR Muslim

2.  Menundukkan Pandangan
  • Saya mestilah berusaha untuk tidak melihat perkara-perkara yang haram dan juga perkara-perkara yang mempengaruhi saya untuk mencintai keduniaan. Allah memerintahkan kita melalui ayat ke 30  Surah an-Nur; 
" Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. "
     Ayat seterusnya yakni ayat 30 surah yang sama menitahkan kepada kaum wanita;
    " Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka serta janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. "

    3.  Memelihara Lidah
    • Saya mestilah memelihara lidah saya daripada mengumpat orang, menjadikan orang lain sebagai bahan ejekan, melawak berlebih-lebihan, gelak-tawa dengan kuat, bercakap kasar, mencaci, menghina, dan seumpamanya. Pesan Rasulullah SAW yang bermaksud:
    Orang yang beriman itu bukanlah orang yang suka menuduh, suka melaknat, suka cakap yang kotor-kotor dan keji. HR Tirmidzi
     Rasulullah SAW  juga ada menegaskan bahawa:
    " Tidak akan lurus keimanan seseorang, sehingga lurus hatinya. Dan tidak akan lurus  hati seseorang sehingga lurus lidahnya. " HR Ahmad

    4.  Malu
    • Saya mestilah seorang yang pemalu dan malu saya itu biarlah kena dengan tempatnya. Janganlah malu kita itu menjadi penghalang daripada kita berdakwah, daripada beramar makruf dan nahi mungkar.  Nabi Muhammad sendiri sangat pemalu. Dikatakan baginda lebih pemalu daripada anak dara di sebalik tirai tetapi baginda tidak malu untuk berdakwah. Hari ini sifat malu telah banyak hilang daripada manusia terutamanya para wanita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
    " Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan.HR Bukhari & Muslim

    5.  Sabar & Sopan
    • Saya mestilah seorang yang sabar, sopan dan lemah-lembut. Ini kerana jalan dakwah ini penuh dengan ranjau-ranjaunya, seperti tidak disukai orang, susah, hina, penindasan, fitnah dan sebagainya tetapi ingatlah wahai diri, bahawa itulah jalan yang telah ditempuh oleh para rasul, para nabi, para aulia' (para wali Allah) dan para solihin. Kalau kita hendak sentiasa hidup senang, maka jadilah kita seperti Firaun yang kaya raya, makan sedap, tak pernah sakit dan sebagainya. Firman Allah SWT yang bermaksud:       
    ...Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas. Az-Zumar 39: 10

    6.  Benar & Jujur
    • Saya mestilah sentiasa bersikap benar dan jujur. Mengapa saya perlu bersifat benar dan jujur? Ianya kerana sesungguhnya sifat-sifat tersebut adalah benteng terhadap segala tipu daya syaitan. Dengannya, kita mempunyai kekuatan diri. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
    Sesungguhnya kebenaran itu membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang itu benar dan selalu memilih kebenaran maka tercatatlah dia disisi Allah seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang itu berdusta dan selalu memilih dusta maka tercatatlah dia disisi Allah sebagai seorang pendusta. " HR Bukhari


    7.  Tawaduk
    • Saya mestilah bersikap tawaduk iaitu merendah diri. Rendah diri saya itu mestilah sesuai dengan tempatnya hinggakan saya boleh bergaul dengan orang atasan dan boleh juga bergaul baik mahupun dengan orang bawahan. Elakkan diri daripada bersikap bangga diri, tinggi diri dan takbur. Sabda Rasullah SAW yang bermaksud:
    Tidak akan masuk syurga orang yang ada sebesar zarah sifat takbur di dalam dirinya. HR Muslim

    8.  Husnuzon (Berbaik Sangka)
    • Saya mestilah sentiasa bersifat husnuzon pada tempatnya dan menjauhi suuzon (buruk sangka) apabila bukan pada tempatnya. Sesungguhnya husnuzon itu adalah hak seseorang manusia ke atas manusia yang lain. Saya perlulah berhusnuzon atas apa-apa tindakan orang lain yang dimana saya tidak mempunyai bukti kukuh atas perbuatan buruknya kerana dikhuatiri terjadinya fitnah. Tetapi ingatlah, tidak perlu lagi untuk berhusnuzon apabila melihat sesuatu maksiat atau kemungkaran, kita lebih  dituntut untuk mencegah perbuatannya kerana sudah jelas perbuatan itu buruk.  Dan jauhilah  sifat suuzon jika belum terbukti lagi orang tersebut benar-benar melakukan keslahan. Firman Allah yang bermaksud:
    Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman Dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.Al-Ahzab 33: 58
    Diharuskan bagi kita untuk berburuk sangka apabila ia menguntungkan semua pihak tanpa mengorbankan pihak-pihak yang tertentu atau sebagai langkah keselamatan, adalah diharuskan untuk kepentingan semua pihak. Sebagai contoh ialah buruk sangka terhadap orang yang berkeliaran di hadapan rumah pada waktu malam, buruk sangka terhadap prestasi pembelajaran anak-anak, dan lain-lain lagi.


      9.  Pemurah
      • Saya mestilah tidak kedekut dan sentiasa beristiqamah untuk bersedekah dan berkorban harta dan khidmat di jalan Allah. Contohilah sebagaimana yang ditunjukkan para sahabat Rasulullah SAW di dalam soal bersedekah. Ingatlah akan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
      Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).HR Bukhari

        10.  Qudwah Hasanah (Contoh yang Baik)
        • Saya mestilah berusaha untuk menjadikan diri saya ikutan yang baik kepada orang lain. Saya mestilah menjaga pertuturan saya, akhlak saya, makan minum saya, cara saya berpakaian, kerja saya dan sebagainya sama ada dalam keadaan senang ataupun ketika kesusahan. Untuk menjadi Qudwah Hasanah tidak boleh tidak ia amat berkait rapat dengan  ilmu tasawwuf iaitu akhlak. Maka contohilah Rasulullah SAW kerana baginda adalah sebaik-baik contoh  ikutan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
        " Sesungguhnya aku diutus untuk melengkapkan akhlak yang mulia. " HR al-Baihaqi


          2 comments:

          need to be a muslim profesional..Insyaallah,
          impressive's entry..

          en. shafiQ said...

          insya Allah (:

          Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...