Rahsia Khusyuk Dalam Solat

Khusyuk dalam solat adalah penting, bukan hanya untuk mencapai kesempurnaan solat itu sendiri, tetapi juga penting untuk mencapai fadhilat dan manfaatnya.

    Khusyuk dalam solat memanglah suatu matlamat yang tidak mudah dicapai oleh setiap musalli, kerana iblis sentiasa berusaha menggoda setiap orang mukmin supaya mengingat hal-hal lain dalam solatnya.

    Para ulama mu'tabar berkata, salah satu cara untuk mencapai khusyuk dalam solat ialah dengan memusatkan seluruh ingatan dan fikiran kepada kalimah tasbih, zikir dan ayat-ayat al-Quran yang dibaca oleh mulut sepanjang solat.

    Oleh itu setiap kali fikiran dan hati menerawang kepada hal-hal dunia dalam solat, cubalah ditarik kembali fikiran itu kepada ayat-ayat yang dibaca sehingga kesempurnaan solat dan tujuannya serta fadhilatnya dapat dicapai sebanyak-banyaknya.

Menurut sabda Rasulullah SAW:
" Allah hanya menerima solat seseorang sejauh mana hatinya menyertai solatnya. "

    Untuk membantu seorang musalli supaya khusyuk dalam solatnya, dianjurkan agar dia memahami setiap zikir, doa dan ayat al-Quran yang diucapkan oleh mulutnya sepanjang solatnya.

    Maka setiap orang mukmin perlu mempelajari dan memahami setiap kalimah yang diucapkannya dalam solatnya, supaya dia dapat menumpukan seluruh ingatan dan fikirannya kepada solatnya, apa lagi jika kalimah-kalimah itu bukan bahasa yang dituturkannya setiap hari.


Berdasarkan panduan dari beberapa orang ulama yang pernah meneliti masalah khusyuk yang sering dihadapi oleh orang mukmin dalam solatnya, berikut ini disenaraikan beberapa petunjuk:
  1. Ketika solat hendaklah kita menganggap diri kita sedang berhadapan secara langsung dengan Allah Yang Maha Mengetahui apa yang terlintas dalam hati setiap hamba-Nya.
  2. Hendaklah kita faham maksud setiap ayat yang kita baca khususnya al-Fatihah dan berusaha meresapkan maksud ayat-ayat itu ke dalam hati.
  3. Hendaklah kita faham maksud segala zikir yang kita baca sambil memerhatikan segala doa yang kita ucapkan sehingga kita faham maksudnya.
  4. Hendaklah kita panjangkan masa rukuk dan sujud. Muhammad al-Bakri berkata: Bahawa di antara amalan yang dapat menghasilkan khusyuk ialah memanjangkan rukuk dan sujud.
  5. Tidak terlalu banyak menggerakkan anggota, seperti menggaru kepala, berpaling ke kanan dan ke kiri, dan sebagainya.
  6. Hendak dipusatkan seluruh ingatan dan fikiran kita semata-mata kepada solat yang sedang dilakukan.
  7. Hendaklah dikosongkan hati daripada apa sahaja yang boleh menimbulkan rasa ragu, curiga atau bimbang (seperti menahan rasa untuk ke tandas).
  8. Hendaklah kita penuhkan dada dengan rasa takut dan rendah diri terhadap Allah yang disembah.
  9. Hendaklah kita ingat bahawa solat adalah suatu ibadah yang terpenting dan amalan terbaik yang boleh memberi kesejahteraan hidup kepada kita di akhirat.
  10. Hendaklah pendangan mata kita ditumpukan kepada tempat sujud ketika berdiri dan kepada jari telunjuk ketika duduk tasyahhud, kerana fikiran manusia tidak dapat memikirkan dua perkara pada suatu masa.
  11. Hendaklah setiap musalli memastikan setiap anggota tubuhnya tidak digerak-gerakkan dalam solatnya.
Rasulullah SAW telah melihat seorang lelaki menggerak-gerakkan anggotanya dalam solat, lalu baginda bersabda:
" Jika hati orang ini khusyuk nescaya khusyuk jugalah seluruh anggota tubuhnya. "






Solat Rasulullah
susunan Mustafa Suhaimi

3 comments:

Fuad Tarmizi said...

assalam..boleh saya tahu tajuk nasyid yang dimainkan dalam blog nie? :-)

en. shafiQ said...
This comment has been removed by the author.
en. shafiQ said...

Wa'alaikummussalam. Sure, 'Law Kaana Bainana', nyanyian Abdul Rahman (:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...