9 Kebijaksanaan Manusia


Pada tahun 1983, seorang ahli psikologi Amerika bernama Howard Gardner telah memperkenalkan teori tentang kepelbagaian kebijaksanaan manusia. Menurutnya, kebijaksanaan manusia boleh dikelaskan kepada 9 kumpulan. Kumpulan-kumpulan tersebut ialah:

1.  Bijak Matematik (lojik-matematik)
Kebolehan mengira, menilai, membina cadangan dan hipotesis dan menjalankan operasi matematik yang lengkap. Ia juga membolehkan kita menterjemah hubungan  dan perkaitan dengan menggunakan pemikiran yang simbolik dan abstrak serta kemahiran menyimpulkan susunan algoritma. Kebijaksanaan ini terdapat pada ahli matematik, ahli sains, dan penyiasat. Remaja dengan kebolehan ini berminat dengan corak, kumpulan, dan hubungan. Mereka tertarik dengan masalah aritmetik, permainan berstrategi, dan eksperimen.

2.  Kebijaksanaan Alam (naturalis)
Kebolehan manusia untuk membezakan benda hidup (makhluk) dan juga kepekaan kepada ciri-ciri alam semulajadi (awan, susunan batu-batu dan cuaca). Kebolehan ini amat bernilai dahulu-kala kerana manusia kebanyakkannya bekerja sebagai pemburu, penternak dan petani. Kerjaya yang bersesuaian dengan kebijaksanaan ini antaranya adalah ahli botani, tukakng masak, petani, tukang kebun, dsb.

3.  Kebijaksanaan Muzik
Keupayaan mengecam dan sensitif pada bunyi, irama, nada, dan muzik. Orang dengan kebijaksanaan muzik yang tinggi biasanya mempunyai 'pitch' yang baik dan boleh menyanyi, bermain alat muzik, dan menggubah muzik. Kebijaksanaan ini membolehkan kita mengecam, membina, mengembangkan dan bertindak balas dengan muzik, seperti yang ditunjukkan oleh penggubah, konduktor, ahli muzik, penyanyi, dan pendengar peka. Biasanya wujud perkaitan antara muzik dengan perasaan. Kebijaksanaan matematik dan kebijaksanaan muzik berkongsi proses berfikir yang sama. Remaja dengan kebijaksanaan jenis ini biasanya minat menyanyi dan bergendang serta bermain dengan alat muzik. Mereka biasanya dapat mengesan bunyi yang tidak dapat dikesan orang lain.

4.  Kebijaksanaan Kewujudan (bijak rohani)
Kepekaan dan keupayaan untuk menyelesaikan persoalan mendalam mengenai kewujudan manusia, seperti makna hidup dan mengapa berlaku kematian. Mereka yang mempunyai kebijaksanaan ini berupaya untuk memahami dan meneliti fenomena persoala di luar data deria (sensory data). Kerjaya atau gelaran yang sesuai dengan mereka yang mempunyai kecerdasan ini termasuklah imam, ahli matematik, ahli fizik, ahli sains, kosmologi dan ahli falsafah.

5.  Kebijaksanaan Perhubungan (interpersonal)
Kebijaksanaan perhubungan adalah kebolehan untuk memahami dan bertindak balas secara berkesan dengan orang lain. Ia melibatkan perhubungan lisan dan bukan lisan (gerak badan), kebolehan mengesan perbezaan pada individu lain, kepekaan kepada angin dan baran seseorang , dan kebolehan memuaskan hati setiap orang yang memiliki pandangan yang pelbagai. Guru, pekerja sosial, pelakon, ahli politik kesemuanya menunjukkan kebijaksanaan perhubungan. Remaja dengan kebijaksanaan jenis ini adalah pemimpin dalam kalangan rakan sebayanya, dan bagus dalam berkomunikasi, dan memahami perasaan dan matlamat orang lain.

6.  Kebijaksanaan Hubungan Kendiri (intrapersonal)
Kebijaksanaan hubungan kendiri ialah kebolehan memahami diri sendiri dan pemikiran serta perasaan orang lain, dan menggunakan pengetahuan tersebut dalam merancang dan mengarahkan kehidupan seseorang. Ia lebih merujuk kepada mempunyai pemahaman yang mendalam tentang diri sendiri, apa kekuatan / kelemahan anda, apa yang membuatkan anda unik, mampu untuk meramalkan reaksi / perasaan anda sendiri. Kebijaksanaan ini tidak hanya melibatkan penghargaan kepada diri sendiri, tetapi juga kepada keadaan manusia yang lain. Ia terdapat pada ahli psikologi, pakar motivasi, pemimpin kerohanian atau keagamaan, dan ahli falsafah. Remaja yang memiliki kebolehan ini biasanya seorang pemalu. Mereka amat menyedari perasaan mereka dan pandai menyesuaikan diri dengannya.

7.  Kebijaksanaan Gerakan Jasad (bijak jasad)
Kebijaksanaan gerakan jasad ialah kebolehan menggunapakai dan mengendalikan tubuh badan dan objek dengan baik dan cekap dalam melakukan pelbagai kemahiran fizikal. Kebijaksanaan ini juga termasuk kepekaan tentang masa, mengetahui matlamat yang jelas di dalam setiap tindakan fizikal, dan penyempurnaan kemahiran menerusi kesatuan minda-jasad (keselarasan antara otak dengan jasad, sebagai contoh ketika seseorang berusaha untuk belajar seni mempertahankan diri, dia sebenarnya sedang membina keselarasan antara gerakan badan dengan mindanya). Mereka yang terlibat akan belajar dengan lebih baik melalui tindakan fizikal dan secara amnya hebat dalam aktiviti-aktiviti fizikal seperti sukan atau tarian. Kerjaya yang sesuai dengan mereka yang mempunyai kecerdasan ini termasuklah: atlit, penari, pemuzik, pelakon, pakar bedah, doktor, pembina, pegawai polis dan tentera.

8. Kebijaksanaan Bahasa (linguistik)
Kebijaksanaan bahasa ialah kebolehan berfikir dalam perkataan dan menggunakan bahasa untuk menyampaikan dan menghargai maksud-maksud tersirat. Kebijaksanaan bahasa membolehkan kita memahami turutan dan makna perkataan dan menggunakan kemahiran meta-linguistik bagi menggambarkan penggunaan bahasa. Mereka yang mempunyai kebijaksanaan ini lebih cenderung untuk belajar dengan lebih baik dengan membaca, mengambil nota, mendengar kuliah, dan dengan berbincang dan berdebat mengenai apa yang mereka pelajari. Kebijaksanaan bahasa ialah kebolehan manusia yang paling banyak dikongsi dan terdapat pada pemuisi, penulis novel, wartawan, dan pemberi ucapan yang berkesan. Remaja dengan kebijaksanaan jenis ini minat menulis, membaca, menyampaikan cerita atau menyelesaikan teka silang kata.

9) Kebijaksanaan Gambar (spatial)
Kebijaksanaan gambar ialah kebolehan berfikir dalam ruang tiga matra. Kebolehan terasnya termasuklah bayangan minda, memutuskan suatu gambaran, penggunaan imej, berkemahiran grafik dan artistik, dan bayangan atau imaginasi yang baik. Mereka yang terlibat lebih berminat terhadap teka-teki serta merungkainya. Kelasi, juruterbang, pengukir,pelukis, dan arkitek kesemuanya menunjukkan kebijaksanaan gambar. Remaja dengan kebolehan ini meminati mez atau jigsaw, dan menghabiskan masa lapang dengan melukis dan berangan.



Sumber:
eigenzone.blogspot.com
en.wikipedia.org
Powered by Blogger.