Hamzah b. Abdul Mutalib, Pembela Nabi dan Sunnah Baginda

   
    Saidina Hamzah b. Abdul Mutalib merupakan bapa saudara Rasulullah SAW. Beliau dilahirkan pada tahun 570 Masihi di Mekah al-Mukarramah. Beliau sangat rapat dengan Rasulullah SAW sejak kecil dan merupakan pakar memburu dan memanah.


     Saidina Hamzah pernah memukul Abu Jahal yang menampar Rasulullah SAW. Beliau diberi gelaran sebagai 'Asadullah yang bermaksud 'singa Allah' kerana keberaniannya di medan perang dan mempertahankan Rasulullah SAW. Selain itu beliau digelar Sayyidus Syuhada' yang bermaksud penghulu para syuhada. Beliau gugur syahid pada tahun ke 33 Hijrah dalam peperangan Uhud dan dikebumikan berdekatan dengan Bukit Uhud.

    Saidina Hamzah mempunyai sifat-sifat peribadi yang mulia dan sangat menjaga tingkahlakunya iaitu beliau tidak pernah terbabit dengan akhlak jahiliah yang buruk seperti berjudi, berzina dan berfoya-foya. Beliau juga terkenal dengan sifat-sifat gagah dan berani dalam memperjuangkan agama Islam. Saidina Hamzah pernah menyahut cabaran melawan 2 orang tentera Musyrikin dalam perang Badar dan berjaya membunuh kedua-duanya. Beliau juga dikenali seorang yang berani kerana banyak membunuh musuh dalam perang Uhud dan memegang panji-panji tentera Islam dalam beberapa perperangan. Beliau juga sentiasa melindungi Rasulullah SAW dari ancaman kafir Quraisy.

    Saidina Hamzah seorang yang cekal hati dan pantas bertindak dalam segala tugas yang diarahkan seperti beliau pernah ditugaskan sebagai Ketua Peninjau pergerakan musuh di antara Makkah dan Syam dan beliau dipilih oleh Rasulullah SAW sebagai panglima perang dalam perang Badar. Saidina Hamzah terkenal sebagai seorang yang bijak mengatur strategi peperangan, contohnya beliau pernah melancarkan serangan dengan tersusun ketika perang meletus hingga memberikan kemenangan kepada pihak Islam.

    Kisah pengislaman Saidina Hamzah berlaku apabila Abu Jahal telah menghina dan mencerca Rasulullah di Bukit Safa, pada ketika Saidina Hamzah sedang berburu. Dalam perjalanan pulang, beliau diberitahu tentang penghinaan itu oleh dua orang wanita. Hamzah sangat marah dan mencari Abu Jahal yang sedang berbincang dengan pembesar Quraisy di Masjidil Haram. Beliau memukul kepala Abu Jahal dengan busar panahnya hingga berlumuran darah, kemudian beliau berkata:
" Sesiapa yang berani menghalang dan mencabar aku silakan! telah jelas kepadaku bahawa Muhammad itu ialah Rasul Allah dan ajaran yang dibawanya adalah benar. Demi Allah aku ialah pengikut Muhammad. Kalau kamu berani halanglah aku ".

    Inilah detik pengislaman Saidina Hamzah. Sikap beliau ini didorong oleh perasaan kasih dan cinta kepada Rasulullah dan kebenaran yang dibawa oleh baginda. Pengislaman ini menyebabkan umat Islam semakin kuat dan dihormati, malah pemimpin Quraisy tidak lagi berani melakukan penindasan ke atas umat Islam sesuka hati mereka.
     Di antara sumbangan dan pengorbanan Saidina Hamzah b. Abdul Mutalib ialah telah melindungi Rasulullah SAW dari ancaman musuh. Salain itu, beliau menyertai semua peperangan dan memainkan peranan penting dalam peperangan. Beliau juga banyak berkorban untuk menegakkan agama Allah SWT dan mengambil berat tentang persaudaraan tanpa mengira kedudukan. Beliau juga banyak membantu menyebarkan dakwah Islam hingga dihormati masyarakat luar. Saidina Hamzah telah gugur syahid apabila beliau ditikam dengan lembing oleh Wasyi dalam peperangan Uhud.



susunan: Rusnani bt. Hassan
Powered by Blogger.