Diri, ingatlah mengapa!

     Aku terkenang, terkenang kembali saat-saat zaman waktu aku di sekolah menengah dahulu. Aku amat bersyukur pada Allah SWT kerana jika Dia tidak menghadirkan zaman sekolah menengah itu di dalam perjalanan hidup aku ini, tidak mungkin akan lahirnya insan yang lebih bermotivasi kini. Di atas kekuasaan-Nya serta kebijaksanaan-Nya. Dia yang Maha Mengetahui. Allahuta'ala'alam.

     Hadirnya zaman itu, hadirnya waktu itu, waktu aku hilang arah, waktu aku tidak memikirkan, waktu aku bersenang-senangan dalam pembelajaran. Bukan bermaksud aku sudah sempurna kini, tidak. Hanya mahu menyampaikan bahawa titik waktu itu amat mengajarku. Aku hanyut, hanyut dengan arus persahabatan yang entah kemana. Alhamdulillah kini, lebih celik hati ini dalam mengenal erti persahabatan yang sebenar yang perlu dituju, yang perlu dicari, cari, cari dan gali.

     Kini aku telah melanjutkan pelajaran. Peluang yang aku idam-idamkan dulu, kini terhampar di hadapan mata. Wahai diri, telahpun dihamparkan idamanmu, kau kini hanya perlu berjalan diatasnya. Laluilah, lalu dengan sebaik-baiknya. Yakin perjalananmu tidak akan sentiasa mudah. Likunya telahpun kau jangka. Kau lemah wahai diri. Sebenar-benar kekuatan, kekuasaan, semuanya terletak pada Allah SWT. Kembalilah pada-Nya. Pohonlah pada-Nya setiap kali rahmat yang dipinjamkan kepadamu telah ditarik balik. Ketahuilah ianya semua kerana perlakuan dirimu sendiri. Kenanglah diri, betapa besarnya rahmat Allah yang telahpun kau rasakan sebelumnya. Jangan sekali-kali kau nafikan nikmat-Nya!

     Bermulanya semestar, kau amat bermotivasi. Kau telah sedar. Tidak lagi mahu meletakkan keyakinan di tempat yang salah. Kau lebih bersyukur di atas nikmat-Nya. Nikmat kefahaman yang diberikan padamu. Jika ingin dikenangkan, dahulunya, kau terlampau yakin, kau memandang ringan dalam pembelajaran. Kau mengambil ringan, kau bermain-main dalam belajar. Hinggakan kau tidak cemerlang hampir di dalam setiap peperiksaan yang dilalui. Anehnya, Setiap kali kau tersungkur, lebih kuat lagi kau menipu diri sendiri. katamu, "alah, ni aku main je ni. Kalau aku buat betul-betul mesti result aku lagi cantik.". Sedarlah diri, semua itu hanya menipu dirimu sendiri. Pastikan diri, perkara sebegitu tidak lagi hadir dalam dunia pembelajaranmu. Berusahalah dengan sebenar-benarnya, selagi Allah tidak menarik nikmat-Nya padamu. Selagi jalan-Nya masih lagi terhampar.

     Hati takut, kau semakin lupa tarbiah Allah yang telahpun kau lalui. Sedarlah kembali. Bangkitlah kembali. Tidak perlu malu dalam belajar. Tidak perlu bertangguh dalam belajar. Mohonlah diri, mohonlah sentiasa pada Allah agar kau sentiasa ditempatkan dilaluan yang benar, laluan yang diredhai-Nya. Tetapkan niatmu, ingatlah kembali, mengapa kau belajar? Untuk apa diri? Untuk apa? Ingatlah.. .

2 comments:

fatinah saje said...

siyes..suka bca..sedar dri jugk ak ni..
t.kasih(: n terbaekk~

en. shafiQ said...

thnx sbb sudi bce (:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...