Kita sahabat?

Soalan ditanya pemecah sepi. Bergemalah soalan, " Ada sesiapa di sini yang boleh berikan definisi 'sahabat'? ". Sekali dengar mungkin kita akan terfikir jawapannya ada di dalam kamus dewan. Bukan begitu, masakan si penyoal bertanya jika jawapannya boleh di dapati di kamus dewan. Jelas, dia mahukan lebih dari itu. Dia mahukan pendapat! Tetapi malangnya, walaupun ramai yang dirasakan mendengar soalan itu, namun ianya sepi tanpa jawapan. Tetapi mengapa tiada yang menjawabnya? Begitu beratkah soalan itu? Setiap dari mereka seharusnya mempunyai pendapat masing-masing. Jadi nyatakanlah! Tiada permasalahan di dalam perbezaan pendapat. Sememangnya telah diciptakan manusia itu berbeza di antara satu sama lain.

Firman Allah yang bermaksud,
" Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). " Surah Al Hujurat 49:13

Jadi terimalah perbezaan itu kerana ia merupakan rahmat daripada Allah SWT. Biarlah jika mereka tidak mahu menjawab. Tetapi yang pastinya, anda perlu menjawab dan nyatakan pendapat anda! Kemudian lihat dan kaji selidiklah kembali jawapan yang telah anda beri/rasa itu. Adakah ia masih lagi berada di landasan yang benar? Adakah pendapat anda bertepatan dengan perspektif Islam yang syumul ini? Jika ya, teruskanlah dengan pendapat anda itu. Tetapi ingatlah, janganlah dipertahankan lagi pendapat itu sekiranya anda menemukan pendapat yang lebih baik daripada pendapat anda. Kita mahukan jawapan, bukan pertelagahan. Kita yakin suasana dan pengalaman yang berbeza bakal melahirkan pendapat-pendapat yang berbeza. Malah tidak mustahil pendapat yang anda pegang pada hari ini bakal berubah keesokan harinya hanya kerana anda telah memalui situasi yag berlainan lantas menyebabkan anda telah melalui satu lagi detik pengalaman yang berbeza. Ingatlah, pendapat itu lahir dari hati. Dan hati itu sifatnya berbolak-balik.

Daripada Abdullah Bin Amru Bin Al-‘As RA, dia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
" Sesungguhnya hati-hati keturunan Adam, kesemuanya itu di antara dua jari daripada jari-jemari Tuhan Yang Maha Pemurah. Dia boleh sahaja membolak-balikkan ke mana-mana sahaja yang disukai-Nya ". Seterusnya Baginda SAW pun berdoa: “ Wahai Tuhan Kami Yang Maha Membolak-Balikkan hati-hati kami, arahkanlah hati kami ke arah ketaatanmu ". HR Muslim

Pengalaman akan mematangkan manusia. Tetapi, ianya hanya akan mematangkan kita jika kita melihat dan mengambil pengalaman itu dari sudut yang positif. Hayatilah konsep 'always look on the bright side'. Bagaimana pula jika kita melihat pengalaman itu dari sudut yang berlainan? Jelas, ianya hanya akan mengundang pelbagai masalah, dendam, kemurungan, dan berbagai lagi keadaan yang semestinya kita tidak mahu hampiri.




Berbalik kepada soalan, mengapa si penyoal memilih untuk bertanya soalan yang sedemikian, berbanding soalan-soalan lain yang boleh ditanyakan? Adakah mungkin kerana dia yakin setiap insan itu mempunyai ataupun perlukan sahabat? Mungkin? Ataupun mungkin kerana dia yakin sahabatlah punca utama yang membawa kepada pembangunan ummah? Mungkin? Adakah kerana dia dapat merasakan semakin terhakisnya ikatan persahabatan yang sebenar disekitarnya? Mungkin juga. Terpulanglah, anda baca, anda nilai.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
" Tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri. " HR Bukhari dan Muslim

Indahnya ajaran Islam. Indahnya ajaran Nabi Muhammad SAW. Baginda tinggalkan kepada kita hadis dan sunnahnya. Tetapi mungkin kita leka dan alpa. Hadis diatas menjelaskan betapa pentingnya persaudaraan sesama Muslim. Bukankah sahabat kita itu juga saudara kita? Berbicara perihal sahabat, siapakah contoh terbaik yang boleh dan patut kita ikuti? Tiada lain, Nabi Muhammad itulah sebaik-baik contoh ikutan. Melihat kepada baginda dan sahabat-sahabatnya, tiada lain yang dapat kita ungkapkan melainkan betapa suci dan murninya persahabatan mereka. Mereka bersahabat tulus kerana Allah SWT. Mereka menasihati antara satu sama lain. Mereka membimbing antara satu sama lain. Mereka berkorban mempertahankan antara satu sama lain. Bukankah itu jalan-jalan menuju kejayaan?

Soallah kembali kepada diri kita, kemudian bandingkanlah, adakah jawapan kita terhadap persoalan diatas bertepatan dengan keindahan persahabatan Rasulullah dengan para sahabatnya? Jika ya, berbahagialah anda. Kini anda hanya perlu berusaha menggapainya. Tetapi jika tidak, perbetulkanlah kembali tanggapan kita tentang 'sahabat'. Tetapkanlah kembali minda kita tentang betapa pentingnya persahabatan yang murni dan tulus demi Illahi. Mudah-mudahan kita dijauhkan dengan dengan dugaan besar yang melanda umat kini. Anda menilai.



" Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwaku; Sahabat yang baik adalah seiring denganku dan menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas mati; Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan merasa senang; Semakin ramai sahabat, semakin aku percaya diri; Aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tidak luntur baiknya dalam suka dan duka; Jika aku dapat, aku akan setia kepadanya. "

Imam Syafi'i



p/s:
sekadar coretan idea dan perkongsian pendapat,
yang baik itu pasti dari Allah SWT, 
dan yang buruk itu pula datangnya dari
kelemahan hamba sendiri. 

3 comments:

en. shafiQ said...

cngr8s kalau dpt bce smpy abez!huhu
hrp b'mnfaat (:

fatinah saje said...

haha..terbaek~

en. shafiQ said...

thnx :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...