Hati sakit? Kita rawat !


Sebagai seorang Muslim, kita perlukan hati yang sihat dan ceria. Inilah ciri-ciri hati seorang Mukmin. Tidak seperti hati seorang fasiq yang sentiasa sakit dan resah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
Dosa itu sesuatu yang mendatangkan rasa resah di dalam hatimu.

Perbuatan maksiat kepada Allah bakal mengundang kepada hati yang sakit. Jika hati kita sakit sahabat, maka lemahlah kita dalam memerangi hawa nafsu dan godaan syaitan, sedangkan medan jihad seorang Muslim yang nyata ialah bermujahaddah dalam memerangi hawa nafsu dan godaan syaitan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya.HR Bukhari

 Tahukah kita apakah penyakit hati kita? Ketahuilah, penyakit hati adalah dosa. Kata Pahrol Mohamad Juoi di dalam tulisannya, dosa ialah “virus” yang menyebabkan hati sakit. “Virus” dosa akan menyerang dan menyakitkan hati secara mendadak. Ia akan merosakkan hati secara perlahan-lahan dan berperingkat-peringkat.



4 Tahap virus dosa merosakkan hati manusia :

1. Rasa bersalah dengan dosa
Hati akan diburu rasa bersalah. Resah jiwanya kerana dirinya telah menentang fitrah. Sememangnya fitrah manusia itu cintakan kebaikan. Rasa bersalah dirasakan amat menyeksakan. Seolah-olah dia berperang dengan dirinya sendiri.

2. Rasa biasa dengan dosa
Dia sudah mula biasa dengan dosa yang dilakukannya. Jika dosa yang sama diulang, diulang lagi. Maka hilanglah rasa bersalah yang sebelum ini menyalubungi jiwa digantikan dengan alasan-alasan yang direka-reka berlandaskan nafsu semata-mata.

3. Rasa seronok dengan dosa
Di tahap ini, dia merasakan betapa manis dan indahnya dosa yang dilakukan. Terasa nikmat pula apabila melakukan dosa. Hinggakan peluang melakukan dosa sering diintai dan dinanti-nanti olehnya .

4. Jadi pembela kepada dosa
Dosa akan dipromosikan dan dihiasi sebagai sesuatu yang indah, seronok dan menguntungkan. Dialah pembela dan pejuang ‘dosa-dosa’ dengan seluruh upaya dan kudratnya. Fuhhh. .


Firman Allah yang bermaksud,
Dan sesiapa di dunia ini buta hatinya, maka di akhirat nanti juga akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya.Surah al-Isra' 17:72

Jadi apakah penyalesaiannya? Mulakan dengan mengesan penyakit hati kita disusuli dengan rawatan terhadap sakit itu.


Bagaimana mengesan penyakit hati?

Hayati kata-kata Syeikh Ibn Ata’illah,
Sebahagian daripada tanda matinya hati, iaitu jika tidak berasa sedih kerana tertinggalnya suatu amalan kebaikan, juga tidak menyesal jika terbuat satu perlanggaran dosa. ”

Beliau menegaskan lagi bahawa kata-kata itu bersandarkkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
Sesiapa yang merasa senang oleh amal kebaikannya dan merasa sedih atau menyesal atas perbuatan dosanya, maka dia seorang Mukmin (beriman).HR Al-Tabarani


Bagaimana pula hendak merawat hati?

Tidak ada jalan lain untuk merawat hati kecuali dengan jalan mujahaddah (bersungguh-sungguh menempuh jalan ketaatan).

Firman Allah yang bermaksud.
Dan sesiapa yang bersungguh-sungguh di jalan Kami nescaya Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami... Surah al-Ankabut 29:69

Selain itu, berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas ra,
Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun (beribadat) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah (beribadat) disepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh.

Saya gariskan kembali, menurut Ibrahim Al-Khawas ra. terdapat 5  perkara untuk mengubati hati iaitu:
1. Membaca al-Quran dengan menghayati isi kandungannya
2. Berpuasa
3. Bangun beribadat di waktu malam
4. Beribadat di 1/3 malam (qiyamullail)
5. Sentiasa mendampingi orang-orang yang soleh.



Carilah hatimu pada tiga tempat. Cari hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Jika kamu tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kamu tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati! 
(Imam al-Ghazali)


3 comments:

nmirmo said...

:) ... thanx share.... ^_^ ... insyaAllah...

en. shafiQ said...

Sumber dari tulisan Pahrol Mohamad Juoi,
SOLUSI isu#4.

Harap b'mnfaat :)

en. shafiQ said...

sme2 nmirmo ! :)
Doa2 smoge dpt b'amal. .
amin. .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...